PENYAKIT-PENYAKIT HATI
Penyakit-penyakit yang biasa menyerang hati manusia:
1. Mensyirikkan Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
2. Ingin/cenderung melakukan amalan yang berdosa kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
3. Lalai, tidak mengambil berat atau malas terhadap tugas yang dipertanggungjawabkan Allah Subhanahu Wa Ta’ala kepada hamba yang muslim.
4. Tidak mengendahkan atau memandang kecil hukum hakam Allah Subhanahu Wa Ta’ala, sebaliknya memuliakan hukum hakam manusia.
5. Tidak bergantung harap kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, sebaliknya bergantung harap kepada selain daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
6. Takut kepada makhluk melebihi takut kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala
7. Mencurigai, syak dan sangsi kepada janji-janji Allah Subhanahu Wa Ta’ala terhadap hamba-hambanya yang beriman, dan juga terhadap amaran-amaran Allah Subhanahu Wa Ta’ala terhadap hamba-hambaNya yang menderhaka.
8. Menghina dan meremehkan orang yang Allah Subhanahu Wa Ta’ala kasihi.
9. Tidak bersungguh dan istiqamah dalam proses pembangunan diri.
10. Memandang negatif terhadap aktiviti-aktiviti/program-program da’wah dan tarbiyah
PROSES MERAWAT HATI
RAWATAN 1: APA YANG BERLAWANAN DENGAN PENYAKIT
1. Tidak ada ubat yang dapat mengubati penyakit-penyakit hati melainkan ubat yang ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Janganlah kita berusaha mencari ubat-ubat yang lain. Tidak akan sembuh penyakit-penyakit itu melainkan dengan ubat yang telah digunakan oleh Baginda Sallallahu’alaihiwasallam.
2. Untuk mengubati sesuatu penyakit, perlu terlebih dahulu kita mengenal jenis penyakit tersebut. Ubat yang mujarab ialah apa yang berlawanan dengan penyakit yang menyerang hati manusia.
a. Jika penyakit itu ialah mensyirikkan Allah Subhanahu Wa Ta’ala, maka ubatnya ialah mentauhidkan Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
b. Jika penyakit itu sukakan amalan berdosa, ubatnya ialah mendidik hati agar membenci amalan itu dan bertaubat kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Thabit bin Qurrah berkata:
“Kerehatan badan bergantung kepada kurangnya makan. Kerehatan jiwa bergantung kepada kurangnya melakukan dosa. Kerehatan lidah bergantung kepada kurangnya bercakap. Dosa bagi hati umpama racun bagi badan. Justeru itu dosa yang dilakukan seseorang umpama meminum racun. Jika dosa itu tidak membinasakan jiwa secara menyeluruh, maka ia akan melemahkan jiwa (seperti racun, walaupun ia mungkin tidak memusnahkan badan tetapi ia tetap melemahkan badan). Jiwa yang lemah tidak lagi mampu melawan penyakit, sama seperti badan yang lemah tidak mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik.”
Realiti manusia melakukan dosa masakini – terlalu ramai manusia bergelumang dengan dosa. Dosa bukan sahaja menjadi sahabat malah membuat dosa menjadi sumber mata pencarian. Dosa menjadi suatu keni’matan. Hawa nafsu menjadi ganas. Hati manusia cinta kepada ma’siat. Hati manusia semakin sukar untuk menerima nasihat atau ubat. Bahkan hati menolak ubat dan sukakan penyakit, sehingga menganggap penyakit itu ubat dan ubat itu penyakit.
c. Jika penyakit hati – lalai, tidak mengambil berat atau malas terhadap tugas yang dipertanggungjawabkan Allah Subhanahu Wa Ta’ala, maka ubatnya sentiasa sedar dan bersungguh-sungguh menjalankan n tanggungjawab tersebut.
d. Jika penyakit hati – tidak mengendahkan atau memandang kecil hukum hakam Allah Subhanahu Wa Ta’ala & memuliakan hukum hakam manusia, maka ubatnya mengambil berat dan merasa izzah dengan hukum hakam Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
e. Jika penyakitnya berharap dan takut kepada makhluk, maka ubatnya berharap dan takut kepada Allah Subhanahuwata’ala.
f. Jika penyakit memandang negatif kepada terhadap aktiviti-aktiviti/program-program da’wah dan tarbiyah, maka ubatnya kita ialah bersikap positif.
g. Asas bagi pengubatan hati ialah kembali kepada Allah SWT – kuatkan iman & taqwa kepada-Nya.
RAWATAN 2: TARBIYAH DZATIYAH
Tarbiyah dzatiyah ialah pembangunan diri yang direncanakan untuk diri sendiri:
1. Ibadah – contohnya:
a. Solah – melakukan solah-solah sunat di samping solah wajib.
b. Zakat – berinfaq fisabilillah di samping membayar zakat.
c. Puasa – berpuasa sunat di samping puasa wajib
d. Bertaubat
Taubat bermakna:
i. Kembali kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, peraturan-Nya dan hukum-Nya.
ii. Membuang dan mengosongkan hati daripada perkara-perkara buruk yang merosakkan hati.
iii. Menutup hati daripada kejahatan dan membuka hati kepada kebaikan.
iv. Beristighfar kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala sambil memurnikan tauhid kepada-Nya.
e. Berzikir
f. Tilawah Al-Qur’an
g. Doa
Abdullah bin ‘Abbas berkata:
“Doa kita harus mengandungi tauhid (uluhiyyah dan rububiyyah) dan mestilah kembali menyifatkan Allah Subhanahu Wa Ta’ala sebagai yang paling Agung, Tinggi dan Pemurah.”
h. Dan lain-lain ibadah lagi
2. Aktiviti ilmu dan juga berfikir- contohnya:
a. Membaca buku-buku fikrah Islamiyah
b. Mengikuti kelas-kelas ilmu
c. Memikirkan keagungan dan kebesaran Allah Subhanahuwata’ala dengan melihat ciptaan-ciptaan-Nya
3. Memelihara kesihatan dan kecergasan diri
RAWATAN 3: BERJIHAD MELAWAN HAWANAFSU
Sabda baginda lagi:
Seorang mujahid itu ialah orang yang berjihad melawan nafsunya di jalan Allah
(HR Muslim)
Imam Ibn Qayyim adalah menjelaskan bahawa jihad melawan hawanafsu terbahagi 4 peringkat:
1. Berjihad melawan hawanafsu untuk mencari ilmu
2. Berjihad melawan hawanafsu untuk beramal dengan ilmu
3. Berjihad melawan hawanafsu untuk menyampaikan ilmu kepada manusia (berda’wah, mengajar dan mentarbiyah)
4. Berjihad melawan hawanafsu untuk bersabar dalam berda’wah
RAWATAN 4: ISTIQAMAH DENGAN PROGRAM TARBIYAH
1. Liqa’/Usrah/Halaqah
2. Mukhayyam/Perkhemahan
3. Katibah/Qiyamulail
4. Rehlah/Musafir
5. Nadwah/Seminar
6. Daurah/Kursus
PENUTUP
Sabda Rasulullah SAW:
الَّا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ”.
(رواه البخاري ومسلم)
Dan ketahuilah pada setiap jasad itu ada seketul daging. Andainya ia baik, baiklah seluruh jasad itu dan sekiranya ia rosak maka rosaklah seluruh jasad itu. Itulah hati.’
(HR Bukhari dan Muslim)
No comments:
Post a Comment