Sunday, May 19, 2013

Proses Pembersihan hati







PENYAKIT-PENYAKIT HATI

Penyakit-penyakit yang biasa menyerang hati manusia:

1. Mensyirikkan Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

2. Ingin/cenderung melakukan amalan yang berdosa kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

3. Lalai, tidak mengambil berat atau malas terhadap tugas yang dipertanggungjawabkan Allah Subhanahu Wa Ta’ala kepada hamba yang muslim.

4. Tidak mengendahkan atau memandang kecil hukum hakam Allah Subhanahu Wa Ta’ala, sebaliknya memuliakan hukum hakam manusia.

5. Tidak bergantung harap kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, sebaliknya bergantung harap kepada selain daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

6. Takut kepada makhluk melebihi takut kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala

7. Mencurigai, syak dan sangsi kepada janji-janji Allah Subhanahu Wa Ta’ala terhadap hamba-hambanya yang beriman, dan juga terhadap amaran-amaran Allah Subhanahu Wa Ta’ala terhadap hamba-hambaNya yang menderhaka.

8. Menghina dan meremehkan orang yang Allah Subhanahu Wa Ta’ala kasihi.

9. Tidak bersungguh dan istiqamah dalam proses pembangunan diri.

10. Memandang negatif terhadap aktiviti-aktiviti/program-program da’wah dan tarbiyah

PROSES MERAWAT HATI

RAWATAN 1: APA YANG BERLAWANAN DENGAN PENYAKIT

1. Tidak ada ubat yang dapat mengubati penyakit-penyakit hati melainkan ubat yang ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Janganlah kita berusaha mencari ubat-ubat yang lain. Tidak akan sembuh penyakit-penyakit itu melainkan dengan ubat yang telah digunakan oleh Baginda Sallallahu’alaihiwasallam.

2. Untuk mengubati sesuatu penyakit, perlu terlebih dahulu kita mengenal jenis penyakit tersebut. Ubat yang mujarab ialah apa yang berlawanan dengan penyakit yang menyerang hati manusia.

a. Jika penyakit itu ialah mensyirikkan Allah Subhanahu Wa Ta’ala, maka ubatnya ialah mentauhidkan Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

b. Jika penyakit itu sukakan amalan berdosa, ubatnya ialah mendidik hati agar membenci amalan itu dan bertaubat kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Thabit bin Qurrah berkata:

“Kerehatan badan bergantung kepada kurangnya makan. Kerehatan jiwa bergantung kepada kurangnya melakukan dosa. Kerehatan lidah bergantung kepada kurangnya bercakap. Dosa bagi hati umpama racun bagi badan. Justeru itu dosa yang dilakukan seseorang umpama meminum racun. Jika dosa itu tidak membinasakan jiwa secara menyeluruh, maka ia akan melemahkan jiwa (seperti racun, walaupun ia mungkin tidak memusnahkan badan tetapi ia tetap melemahkan badan). Jiwa yang lemah tidak lagi mampu melawan penyakit, sama seperti badan yang lemah tidak mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik.”

Realiti manusia melakukan dosa masakini – terlalu ramai manusia bergelumang dengan dosa. Dosa bukan sahaja menjadi sahabat malah membuat dosa menjadi sumber mata pencarian. Dosa menjadi suatu keni’matan. Hawa nafsu menjadi ganas. Hati manusia cinta kepada ma’siat. Hati manusia semakin sukar untuk menerima nasihat atau ubat. Bahkan hati menolak ubat dan sukakan penyakit, sehingga menganggap penyakit itu ubat dan ubat itu penyakit.

c. Jika penyakit hati – lalai, tidak mengambil berat atau malas terhadap tugas yang dipertanggungjawabkan Allah Subhanahu Wa Ta’ala, maka ubatnya sentiasa sedar dan bersungguh-sungguh menjalankan n tanggungjawab tersebut.

d. Jika penyakit hati – tidak mengendahkan atau memandang kecil hukum hakam Allah Subhanahu Wa Ta’ala & memuliakan hukum hakam manusia, maka ubatnya mengambil berat dan merasa izzah dengan hukum hakam Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

e. Jika penyakitnya berharap dan takut kepada makhluk, maka ubatnya berharap dan takut kepada Allah Subhanahuwata’ala.

f. Jika penyakit memandang negatif kepada terhadap aktiviti-aktiviti/program-program da’wah dan tarbiyah, maka ubatnya kita ialah bersikap positif.

g. Asas bagi pengubatan hati ialah kembali kepada Allah SWT – kuatkan iman & taqwa kepada-Nya.

RAWATAN 2: TARBIYAH DZATIYAH

Tarbiyah dzatiyah ialah pembangunan diri yang direncanakan untuk diri sendiri:

1. Ibadah – contohnya:

a. Solah – melakukan solah-solah sunat di samping solah wajib.

b. Zakat – berinfaq fisabilillah di samping membayar zakat.

c. Puasa – berpuasa sunat di samping puasa wajib

d. Bertaubat

Taubat bermakna:

i. Kembali kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, peraturan-Nya dan hukum-Nya.

ii. Membuang dan mengosongkan hati daripada perkara-perkara buruk yang merosakkan hati.

iii. Menutup hati daripada kejahatan dan membuka hati kepada kebaikan.

iv. Beristighfar kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala sambil memurnikan tauhid kepada-Nya.

e. Berzikir

f. Tilawah Al-Qur’an

g. Doa

Abdullah bin ‘Abbas berkata:

“Doa kita harus mengandungi tauhid (uluhiyyah dan rububiyyah) dan mestilah kembali menyifatkan Allah Subhanahu Wa Ta’ala sebagai yang paling Agung, Tinggi dan Pemurah.”

h. Dan lain-lain ibadah lagi

2. Aktiviti ilmu dan juga berfikir- contohnya:

a. Membaca buku-buku fikrah Islamiyah

b. Mengikuti kelas-kelas ilmu

c. Memikirkan keagungan dan kebesaran Allah Subhanahuwata’ala dengan melihat ciptaan-ciptaan-Nya

3. Memelihara kesihatan dan kecergasan diri

RAWATAN 3: BERJIHAD MELAWAN HAWANAFSU

Sabda baginda lagi:

Seorang mujahid itu ialah orang yang berjihad melawan nafsunya di jalan Allah

(HR Muslim)

Imam Ibn Qayyim adalah menjelaskan bahawa jihad melawan hawanafsu terbahagi 4 peringkat:

1. Berjihad melawan hawanafsu untuk mencari ilmu

2. Berjihad melawan hawanafsu untuk beramal dengan ilmu

3. Berjihad melawan hawanafsu untuk menyampaikan ilmu kepada manusia (berda’wah, mengajar dan mentarbiyah)

4. Berjihad melawan hawanafsu untuk bersabar dalam berda’wah

RAWATAN 4: ISTIQAMAH DENGAN PROGRAM TARBIYAH

1. Liqa’/Usrah/Halaqah

2. Mukhayyam/Perkhemahan

3. Katibah/Qiyamulail

4. Rehlah/Musafir

5. Nadwah/Seminar

6. Daurah/Kursus

PENUTUP

Sabda Rasulullah SAW:

الَّا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ”.

(رواه البخاري ومسلم)

Dan ketahuilah pada setiap jasad itu ada seketul daging. Andainya ia baik, baiklah seluruh jasad itu dan sekiranya ia rosak maka rosaklah seluruh jasad itu. Itulah hati.’

(HR Bukhari dan Muslim)

Tafsir Ayat 11 Surah AlHujurat.


Al-Hujuraat: Ayat 11


Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Ayat ini ditujukan kepada orang-orang yang beriman seperti yang terdapat pada pangkal ayat “Wahai orang yang beriman…..” Ayat ini menerangkan tentang etika kehidupan orang-orang yang beriman. Etika ini adalah dalam bentuk peringatan daripada Allah SWT kepada orang-orang yang beriman supaya sesuatu kaum ynag beriman itu tidak mengolok-olokkan kaum beriman yang lain seperti dinyatakan dalam ayat kedua yang bermaksud,”Janganlah sesuatu kaum mengolok-ngolokkan kaum yang lain.”Ini adalah kerana ada kemungkinan kaum beriman yang diperolok-olokkan itu adalah lebih baik daripada mereka yang memperolok-olokkan itu.

Peringatan ini disampaikan dengan cara yang halus tetapi tepat. Orang yang beriman seharusnya sentiasa muhasabah diri untuk melihat kekurangan pada dirinya. Orang yang tidak beriman sahaja yang boleh menghina orang lain kerana mereka menganggap diri mereka sempurna. Dengan demikian, tidak mungkin orang beriman boleh merendah-rendahkan saudara sesama Islam yang lain.



Seterusnya ayat berikut pula yang bermakna,” Dan jangan pula wanita-wanita mengolok-olokkan wanita yang lain; kerana boleh jadi yang diperolok-olokkan itu lebih baik dari mereka (yang memperolok-olokkan). Ayat ini mengingatkan pula kaum wanita supaya tidak melakukan perkara yang sama iaitu merendah-rendahkan wanita lain yang beriman. Larangan ini tidaklah terbatas kepada lelaki yang beriman sahaja. Pentafsir menjelaskan lagi keterangan ayat–ayat ini dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang berbunyi seperti berikut:

“Kesombongan itu ialah menolak kebenaran dan memandang rendah manusia.”

Berdasarkan hadis ini mesej yang hendak disampaikan ialah perlakuan memperolok dan merendahkan orang lain itu adalah sikap orang yang sombong. Orang sombong merasa diri mereka sempurna dan tiada cacat celanya. Maka itu mereka tidak akan dapat menyedari kekurangan mereka sedangkan sebenarnya merekalah yang punya banyak kelemahan dan kekurangan.

Ayat berikutnya yang bermaksud,” Dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri.” Ayat-ayat sebelum ini melarang keras orang beriman mencela orang beriman yang lain sedangkan ayat ini menekankan tentang pencelaan diri sendiri yang juga turut dilarang. Mengikut pentafsir perbuatan mencela dan mengaibkan orang lain itu akan mengakibatkan orang yang dicela dan diaibkan itu mencela dan mendedahkan keaiban mereka yang mencela pula sebagai tindak balas. Maka perbuatan mengaibkan orang lain itu samalah seperti mengaibkan diri sendiri.

Pentafsir seterusnya menjelaskan pula balasan bagi golongan ini dengan ayat al-Quran berikut:

“Neraka wailun buat setiap orang yang suka mencedera orang dan mencela orang.” ( Surah 104. Al-Humazah : 1).

Humazah diertikan sebagai mencedera iaitu memukul dengan tangan sedangkan Lumazah pula membawa makna mencela, iaitu degan mulut. Humazah juga diartikan dengan sikap hidup yang tidak senang diam kerana sibuk menjaga tepi kain orang . Jika umpatan dan celaan itu ternyata fitnah dan tidak benar maka mereka tergolong orang yang fasiq seperti dalam ayat 6 sbelum ini.

Ayat seterusnya juga berkaitan dengan celaan iaitu memanggil orang lain dengan nama yang buruk seperti terjemahan berikut:

“Dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar yang buruk.”

Pentafsir memberi contoh mengenai kebiasaan orang Arab Jahiliyyah yang gemar memberi gelaran kepada seseorang mengikut perangai orang tersebut seperti gelaran yang diberikan kepada Zaid yang gemar kepada kuda kenderaan yang indah. Maka Zaid digelar Zaid Al Khail iaitu Zaid Kuda. Nabi SAW menukarnya kepada Zaid Al-Khair iaitu Zaid Baik!. Nabi SAW menyarankan kepada orang-orang jahilliyah supaya menukar nama kepada gelaran yang baik setelah mereka beriman. Dalam konteks masa kini, pentafsir memberi contoh keadaan yang sama iaitu apabila seorang kafir itu memeluk Islam ada baiknya ia menukar namanya kepada nama yang baik, walaupun tidak wajib. Pentafsir juga telah memberikan contoh panjang lebar mengenai masyarakat Islam Indonesia yang gemar memberi gelaran nama yang tidak baik dan mengaibkan. Contoh-contoh yang diberikan adalah lebih kurang sama dengan apa yang terjadi dalam masyarakat Islam Melayu di Malaysia.

Ayat 11 ini diakhiri dengan ayat yang bererti:

“Dan barangsiapa yang tidak taubat, maka itulah orang-orang yang aniaya.”

Penggantian nama yang buruk ketika fasiq kepada yang baik setelah beriman adalah petanda baik sejak awal lagi. Pentafsir turut memberi satu contoh iaitu tuntutan berkhitan atau bersunat bagi orang yang baru masuk Islam, walaupun ia tidak wajib. Namun dengan bersunat itu dia telah mengikuti sunnah semua Rasul sebagai ujian permulaan menerima Islam. Orang beriman yang telah fasiq diingatkan supaya bertaubat. Ini adalah jalan penyelesaian bagi mereka kerana Allah SWT itu Maha Mengasihanidan Maha Penerima Taubat. Orang yang enggan bertaubat diingatkan pula bahawa mereka akan menganiaya diri mereka sendiri.
Asbabun Nuzul surah al-Hujurat ayat 11

Abu Jubair Ibnu Dhahak r.a menegaskan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan seorang yang dipanggil dengan nama tertentu, agar orang itu tidak senang dengan panggilan itu.” (Hadis Riwayat Tirmizi – Hadis hasan sahih)

Rasulullah SAW bersabda :إن الله لا ينظر إلى صوركم وأموالكم ولكن ينظر إلى قلوبكم وأعمالكم



Maksudnya :”Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupamu dan harta kekayaanmu, akan tetapi Ia memandang kepada hatimu dan perbuatanmu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini mengandung isyarat bahawa seorang hamba Allah jangan memastikan kebaikan atau keburukan seseorang semata-mata kerana melihat kepada amal perbuatannya saja, sebab ada kemungkinan seorang nampak mengerjakan amal kebaikan, padahal Allah SWT melihat di dalam hatinya ada sifat yang tercela, dan sebaliknya pula mungkin ada seorang yang kelihatan melakukan suatu yang nampak buruk, akan tetapi Allah SWT melihat dalam hatinya ada rasa penyesalan yang besar yang mendorong kepadanya bertaubat dari dosanya. Maka amal perbuatan yang nampak di luar itu, hanya merupakan tanda-tanda saja yang menimbukan sangkaan yang kuat, tetapi belum sampai ke tingkat meyakinkan. Maka Allah SWT melarang orang-orang mukmin memanggil orang dengan panggilan-panggilan yang buruk setelah mereka beriman.

Ketika Rasulullah SWT tiba di Madinah, maka orang-orang Ansar banyak mempunyai nama lebih dari satu, dan jika mereka dipanggil oleh sahabat mereka, kadang-kadang dipanggil dengan nama yang tidak disukainya, dan setelah hal itu dilaporkan kepada Rasulullah SAW maka turunlah ayat ini.

Ibnu Jarir meriwayatkan bahawa Ibnu Abbas dalam menafsirkan ayat ini, beliau menerangkan bahawa ada seorang laki-laki yang pernah di masa mudanya mengerjakan suatu yang buruk, lalu ia bertaubat dari dosanya, maka Allah SWT melarang siapa saja yang menyebut-nyebut lagi keburukannya di masa yang lalu, kerana hal itu dapat membangkitkan perasaan yang tidak baik, membangkit-bangkit kefasikan setelah beriman. Itu sebabnya Allah melarang panggilan-panggilan dengan gelar-gelar yang buruk itu.
Adapun gelar-gelar yang mengandung penghormatan, itu tidak dilarang seperti sebutan kepada Abu Bakar dengan As Siddiq, kepada Umar dengan Faruq, kepada Usman dengan sebutan Zun Nurain dan kepada Ali dengan Abu Turab dan kepada Khalid bin Walid dengan sebutan Saifullah (pedang Allah).

Panggilan yang buruk dilarang diucapkan sesudah orangnya beriman kerana gelaran-gelaran buruk itu mengingatkan kepada kederhakaan dimasa lalu yang sekarang tidak seharusnya diberikan kepada orang yang telah beriman. Barang siapa tidak bertaubat, bahkan terus pula memanggil-manggil dengan gelar-gelar yang buruk itu, maka mereka itu dicap oleh Allah SWT sebagai orang-orang yang zalim terhadap diri mereka sendiri dan pasti akan menerima balasan berupa azab dari Allah SWT pada hari akhirat.

Asy-Syahid Sayyid Qutb rahimahullah dalam kitab tafsir Fizilal Quran menafsirkan surah al-Hujurat ayat 11 menyatakan :
“Masyarakat gemilang yang ditegakkan Islam dengan bimbingan al-Quran itu adalah sebuah masyarakat yang mempunyai adab sopan yang tinggi. Setiap warganegaranya mempunyai kehormatan yang tidak boleh disentuh kerana kehormatannya merupakan sebahagian dari kehormatan masyarakat. Perbuatan mengaitkan mana-mana warganegara bererti mengaibkan diri sendiri kerana masyarakat itu merupakan satu kesatuan yang mempunyai satu kehormatan.Di dalam ayat ini al-Quran menyeru orang-orang mukmin dengan seruan yang mesra : ” Wahai orang-orang yang beriman”



Dan melarang mereka supaya jangan ada lelaki yang menghinakan kaum lelaki yang lain kerana boleh jadi mereka yang dihinakan itu lebih baik dari mereka, dan jangan ada kaum wanita yang menghina kaum wanita yang lain kerana boleh jadi mereka yang dihinakan itu lebih baik dari mereka mengikut pertimbangan neraca Allah SWT.

Ungkapan ayat ini mengandungi satu saranan yang halus bahawa nilai-nilai lahir yang dilihat kaum lelaki dan kaum wanita pada diri mereka itu bukanlah nilai-nilai hakiki yang dapat digunakan untuk mengukur manusia. Di sana ada nilai-nilai lain yang mungkin tersembunyi kepada mereka, iaitu nilai-nilai yang diketahui Allah dan yang digunakan untuk mengukur manusia. Kadangkala lelaki yang kaya menghinakan lelaki yang miskin, lelaki yang kuat menghina lelaki yang lemah, lelaki yang biasa menghina lelaki yang luar biasa, lelaki yang cerdik meghina lelaki yang bodoh, lelaki yang banyak anak menghina lelaki yang mandul, lelaki yang ada ibu bapa menghina lelaki yang yatim piatu. Kadangkala perempuan yang cantik menghinakan perempuan yang hodoh, perempuan yang muda menghinakan perempuan yang tua, perempuan yang tidak cacat menghinakan perempuan yang cacat dan perempuan yang kaya menghinakan perempuan yang miskin. Tetapi semua nilai-nilai ini dan sebagainya adalah dari nilai-nilai bumi yang tidak boleh dijadikan ukuran-ukuran kerana pertimbangan neraca Allah yang mengangkat dan menjatuhkan seseorang itu bukanlah didasarkan di atas nilai-nilai seperti itu.Tetapi al-Quran tidak hanya berpada pada saranan yang halus itu malah ia membangkitkan sentimen persaudaraan keimanan dan mengingatkan orang-orang yang beriman bahawa mereka semua adalah ibarat satu diri sahaja dan barang siapa yang mencela orang lain bererti mencela diri sendiri.



“Dan janganlah kamu mengaibkan diri kamu sendiri”

Kata-kata “talmizu” (mengaibkan) itu sendiri mempunyai satu nada dan bayangan tertentu. Ia seolah-olah merupakan satu tikaman fizikal bukannya keaiban mental.

Di antara perbuatan-perbuatan yang menghina dan mengaibkan ialah perbuatan memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk yang tidak disukai oleh seseorang, iaitu gelaran-gelaran yang dirasakan menghina dan mengaibkan. Di antara kewajipan mukmin terhadap mukmin yang lain ialah tidak memanggilnya dengan apa sahaja gelaran yang tidak disukainya dan dirasakan terhina.

Rasulullah SAW telah mengubahkan berbagai-bagai nama dan gelaran-gelaran orang Islam yang dipakai dizaman jahiliah kerana nama-nama dan gelaran-gelaran itu menurut perasaan baginda yang halus dan hati baginda yang luhur adalah menghinakan tuan-tuan tubuh yang memakainya atau kerana nama-nama dan gelaran itu memberi sifat-sifat yang buruk kepada mereka.”

Rujukan:


Tafsir Al-Azhar HAMKA

Tafsir Fi Zilalil Quran SYED QUTB
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...