Tuesday, February 14, 2012

Menangis...terapi perubatan dalam Islam


Tuhan menganugerahkan dua biji mata kepada manusia untuk menikmati keindahan ciptaan dan melihat semua kebaikan yang telah diberikan. Di sebalik kenikmatan yang dilihat, terkadang itu manusia tidak dapat lari dari memandang keperitan dan seksaan di dunia hingga mampu mengeluarkan air mata.
Namun, menangis itu merupakan anugerah dan terapi yang berkesan menurut agama Islam dan kajian perubatan.
Telah bersabda Rasulullah SAW:
"Ya Allah, anugerahilah kepada kami dua buah mata yang menangis kerana takut kepada-Mu, sebelum tidak ditemunya air mata."
Menangis itu merupakan pelajaran terpenting dalam Islam sebagai Muslim untuk bermuhasabah diri dan mengingatkan diri dengan segala seksaan yang Allah turunkan. Maka bagi setiap diri yang bergelar hamba, wajarlah bagi kita semua meluangkan waktu untuk menangis. Jikalau belum mampu untuk menangis, belajarlah untuk menangis, atau bermulalah dengan berpura-pura menangis.

Tidak dinafikan, para Nabi dan Rasul serta para sahabat di zaman mereka sering menjadikan tangisan sebagai perhiasan dalam solat-solat, doa-doa dan zikir-zikir mereka kerana takutkan kepada Allah SWT.

Telah diriwayatkan dalam hadis, ”Barangsiapa yang menangis kerana takutkan Allah sehingga berlinangan air matanya dan air matanya membasahi tanah maka dia tidak akan diazab pada hari kiamat.”
Dari segi amalan perubatan, menangis itu dapat menyahkan zat berbahaya dari tubuh badan. Zat-zat kimia yang dihasilkan oleh tubuh ketika dalam ketakutan boleh disingkirkan melalui tangisan.
Menangis juga akan meningkatkan kadar degupan jantung. Degupan jantung akan meningkat ketika menangis dan ia dianggap sebagai latihan yang berguna bagi rongga badan, urat-urat dada dan kedua-dua belah bahu. Selepas menangis, kadar degupan jantung kembali perlahan sehingga menimbulkan perasaan yang sangat tenang.
Selain itu, tangisan akan menghalang penyakit menyerang tubuh badan kita. Universiti Temple dari Amerika Syarikat telah mengkaji 100 orang yang menghidap penyakit radang usus besar dan luka pada perut dan 100 orang yang sihat.
Mereka mendapat jawapan yang agak mengejutkan. Hampir semua pesakit yang menghidapi penyakit tersebut mengatakan bahawa menangis adalah tanda lemahnya peribadi, maka mereka memilih untuk memendam rasa hati mereka. Manakala bagi mereka yang tidak menghidap sebarang penyakit mengatakan menangis adalah sesuatu yang semula jadi dilakukan pada waktu dan tujuan yang sesuai.
Tidak ramai yang mengetahui, air mata mengandungi 25% protein. Kajian-kajian yang dijalankan oleh para saintis membuktikan bahawa air mata mengandungi 25% protein dan satu bahagian daripada zat terutamanya magnesium. Ini adalah unsur yang tidak seimbang dan boleh menjadi racun kepada manusia. Ia dapat dibebaskan daripada manusia ketika menangis.
Oleh itu, tidak salah untuk manusia menggunakan tangisan sebagai salah satu cara untuk menghadapi sesuatu perkara tidak kiralah perkara yang sedih mahu pun gembira. Seharusnya kita menggunakan anugerah yang Tuhan berikan supaya dapat memberikan kebaikan kepada diri kita. Insyallah.
Oleh: NAIMAH SHAARI


Wednesday, February 8, 2012

Indikasi Cinta Milik siapa

Cinta Melahirkan Rindu
Bayangkan kita seorang pelajar yang jauh dari dakapan keluarga, sudah pasti rasa rindu akan timbul dikala terkenangkan mereka. Bahkan tangisan kerinduan mampu mengalir kerana rindunya kita kepada mereka.
Bayangkan pula kita seorang suami, sudah pasti merindui si isteri jika lama ditinggalkan. Lebih-lebih lagi bagi si isteri, yang lembut hatinya menangisi perasaan rindu yang bermain di hati.
Begitu juga anak muda yang dikaburi dengan kerinduan kepada kekasihnya, sehingga tidur tak lena, makan tak selera, mandi tak basah, solat tak khusyuk (kalau solat), hidup bagai tidak menentu.
Bayangkan pula kita sebagai ibu bapa, sudah tentu merindui gelagat anak-anak yang kita sayangi. Anak-anak yang jauh dari pandangan sentiasa bermain di fikiran kita, sentiasa memikirkan keselamatan mereka, sentiasa memikir kebahagian mereka, dan yang pasti sentiasa merindui untuk ketemu mereka.
Mengapakah rasa rindu mampu muncul di hati sanubari kita?
Cinta. Ya, Kerana cinta.
Cinta yang melahirkan rasa rindu, kerana kerinduan tidak akan lahir tanpa ada kuasa cinta yang mengikatnya.
Inilah ketenangan yang pasti menghiasi hati kita ketika mengingati sesuatu yang kita cintai. Apatah lagi ketika mendapat tahu kita bakal menjumpainya, bahkan jika couple sekarang, cukup hanya terdengar nama si dia, terus tergetar hatinya.
Apabila terus menerus diingatkan tentang sesuatu yang kita cinta, rasa cinta dan rindu akan terus bercambah dan makin kukuh.
Persoalannya disini, jika teringat ibu bapa, anak-anak, suami atau isteri, kekasih hati, mengapa kerinduan mampu timbul dan kebahagiaan kononnya dirasai?
Sedangkan ketika kita menjauh dari Allah Ar-Rahim, tiada pun rasa rindu seperti rindu kita pada lainnya?
Adakah kita lebih merindui sesuatu yang lain selain Allah?
Ketika mendengar ibu dan ayah akan datang menziarah kita, atau mendengar suami atau isteri sudah ingin pulang, mengapa terasa bahagia sungguh mengenainya.
Sedangkan ketika nama Allah yang dilaungkan tidak terasa apa-apa di hati kita, ketika perkara mengenai Allah disampaikan juga seperti ianya berlalu begitu sahaja, ketika kita mendengar ayat-ayat dari-Nya, tidak bertambah rasa cinta dan rindu kepada-Nya?
Namun, bila cinta yang lain datang menyapa, makin bertambah rasa cinta dan rindu di hati kita?
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal." - [QS Al-Anfal, 8:2]
Muhasabah Cintamu....
Tangisan Kerana Cinta
Berapa ramai antara kita bersedih dan menangis ketika kita makin jauh dari ibu dan ayah, menangis ketika anak-anak makin jauh dari kita, menangis ketika meninggalkan keluarga kita, menangis ketika kehilangan sesuatu barang yang dicintai, menangis ketika wang ringgit kita makin berkurang, ketika harta dan perniagaan makin merugi, bahkan banyak lagi kepentingan dalam kehidupan kita yang kita menangis tatkala ia makin menjauh.
"Dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan." - [QS Al-Fajr, 89:20]
Namun, pernah tidak kita menangis kerana kehilangan cinta Allah, menangis ketika mengingati Allah, menangis ketika membaca ayat-Nya, menangis ketika makin menjauh dari Allah, menangis ketika bermaksiat dihadapan Allah, menangis ketika tidak mampu berkorban untuk Allah dan menangis kerana merindui Allah?
Tidakkah kita merasa hina kerana lebih sanggup menangisi sesuatu keadaan atau perkara, namun bila mengenai Allah kita tidak mampu menangis? Adakah cinta kita kepada yang selain dari Allah melebihi dari tahap cinta yang digariskan Allah?
Katakanlah: "Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuwatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya." "Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik." - [QS At-Taubah, 9:24]
Cukuplah mencintai sesuatu yang lain melebihi cinta kita kepada Allah, Rasul dan Jihad.
Sedarlah cinta kita milik siapa yang paling utama. Bukan kepentingan kita, keluarga kita, kerjaya kita, kenderaan kita, rumah kita, masa rehat kita, tenaga kita dan harta kita, lebih kita pentingkan sehingga mengorbankan kepentingan cinta kepada Allah, Rasul dan Jihad.
Kita wajib berkorban demi kepentingan cinta Allah, Rasul dan Jihad, bukan mengorbankan kepentingan cinta Allah, Rasul dan Jihad untuk kepentingan yang lainnya. Berkorbanlah demi cinta-Nya.
Tangisan cinta yang paling utama milik Allah, usahakan tangisan kerana Allah lebih kita utamakan berbanding tangisan kerana ciptaan-Nya. Seperti para sahabat yang bercucur air matanya tatkala tidak dapat berjuang, berjihad di jalan Allah.
"Dan tiada (pula) berdosa atas orang-orang yang apabila mereka datang kepadamu, supaya kamu memberi mereka kenderaan, lalu kamu berkata: "Aku tidak memperoleh kenderaan untuk membawamu" lalu mereka kembali, sedang mata mereka bercucuran air mata karena kesedihan.." - [QS At-Taubah, 9:92]
Inilah tangisan yang sepatutnya, menangis ketika tertinggal tahajjud kita, dhuha dan quran kita, menangis ketika tidak dapat berkorban masa dan tenaga kerana Allah, menangis ketika cinta kita dirampas selain cinta kepada Allah.
Muhasabah Cintamu...
Kebahagian dan Ketenangan Cinta
"Orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram." - [QS Ar-Ra'd, 13:28]
Inilah kebahagian dan ketenangan yang sepatutnya, jangan sampai hati kita lebih tenang ketika mengingat selain dari Allah.
Ramai antara kita lebih bahagia dan tenang ketika mengingati keluarga, harta kekayaan, kerjaya, pujian dan sanjungan manusia.
Takutlah hati itu sudah dikotori, sudah dinodai dengan kebahagian lain yang tidak hakiki, yang pada pandangan manusia dan dunia pasti membahagiakan, namun pandangan Allah itu lebih utama.
Kebahagian dan ketenangan sebenar hanya akan hadir bila kita mendekati Allah.
Kepekaan hati kita mungkin sudah makin cair ditelan arus keduniaan. Kekadang dosa yang dilakukan dianggap hanya seperti lalat yang singgah dan mampu hilang hanya dengan dikuis begitu sahaja, sedangkan kita seharusnya menganggap dosa dan maksiat itu laksana gunung yang bakal menghempap kita ketika melakukannya, laksana gunung berapi yang bakal membakar kita.
Inilah kepekaan hati yang perlu kita asah bersama, hatta dosa kecil itu lebih kita takuti.
"Dosa kecil lebih aku takuti dari dosa besar kerana ia tidak dapat dirasa kerana kekecilannya." - (Ibn Qayyim)
Jangan turuti hawa nafsu yang mengundang kepada dosa dan maksiat, yang mengundang kepada futurnya cinta utama dan yang akhirnya menumpulkan hati kita.
"Mereka itulah orang-orang yang dikunci mati hati mereka oleh Allah dan mengikuti hawa nafsu mereka." - [QS Muhammad, 47:16]
Indikasi Cinta Milik Siapa
Setelah bersama menghayati rindu dan tangisan kerana kecintaan. Mari tepuk dada, tanya iman. Siapa sebenarnya cinta paling utama?
"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternakdan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga)." - [QS Al-Imran, 3:14]
Adakah manusia lebih kita cintai dari Allah?
Adakah harta lebih kita cintai dari Allah?
Adakah kerjaya lebih kita cintai dari Allah?
Adakah kehidupan dunia lebih kita cintai dari Allah?
Adakah kenderaan dan kediaman lebih kita cintai dari Allah?
Adakah keseronokan hiburan lebih kita cintai dari Allah?
Adakah kenyamanan tidur lebih kita cintai dari Allah?
Adakah waktu rehat kita lebih dicintai dari Allah?
Apa yang paling kita rindu bila kehilangannya?
Ke mana tangisan kita sering dicucurkan?
Inilah indikasi cinta kita milik siapa.
Ayuh ikhwah dan akhwat sekalian, tidak ada insan suci yang tidak mempunyai masa lampau dan tidak ada insan berdosa yang tidak mempunyai masa hadapan.
Tanamlah azam dan kesungguhan kearah yang lebih baik dan sentiasalah tingkatkan ia.
Jadikan hari ini lebih baik dari semalam, dan usahakan esok hari agar lebih baik dari hari ini.
Mari muhasabah cinta kita bersama, letakkan kepentingan cinta yang lebih utama, nikmat-nikmat yang diberikan kepada kita perlu dicintai, tapi yang perlu dicintai adalah cinta kita kepada Pemberi Nikmat yang lebih utama.
Muhasabah Cintamu...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...