Thursday, August 30, 2012

Puasa ganti, sunat dan Syawal...oleh Ustaz Zaharuddin


Puasa sunat Syawal sememangnya amat popular di kalangan masyarakat kita hari ini. Dikesempatan ini saya suka menasihatkan semua yang ingin mengamalkan puasa sunat ini agar berhati-hati dari tipu daya syaitan yang kerap berjaya menjadikan seseorang individu yang berpuasa itu bermegah dan riya' dengan amalannya.
" kau , dah hari ker berapa dah?"
"aku dah 5 hari dah ni"
"esok aku raya (sunat syawal)"
Ini adalah antara kata-kata yang kerap didengari di bulan syawal ini.
Ia menjadi seolah-olah satu budaya untuk berlumba menamatkan puasa enam. Ia agak terpuji tetapi ia dicemari oleh habahan-hebahan yang dibuat tentang bilangan hari puasanya bertujuan melihat 'sapa lebih hebat?'.
Amat dibimbangi, tindakan ini bakal menghilangkan seluruh pahala puasa sunatnya. Kerana ia boleh menjadikan seseorang merasa riya, serta memperdengarkan amalan masing-masing yang sepatutnya di sembunyikan khas untuk Allah.
Ziarah & Puasa Sunat
Saya tidak nafikan ada yang terpaksa memberitahu apabila ada rakan yang ajak makan dan menziarahi rumah rakan. Tatkala itu, ia tidaklah terkeji dan masing-masing bertanggung jawab menjaga niat dan hati masing-masing agar tidak timbul perasaan tersebut.
Puasa sunat ini juga tidak sewajarnya menjadi penghalang menerima jemputan rakan-rakan yang membuat rumah terbuka.
Isu Keutamaan Antara Sunat Syawal & Qadha
Selain itu, satu isu yang kerap ditimbulkan berkenaan hal ini adalah tentang penggabungannya dengan puasa ganti ramadhan dan puasa yang mana satu lebih perlu diutamakan.
Jika ada yang bertanya manakah yang lebih baik di antara puasa sunat syawwal dan puasa qadha?. Jawapannya sudah tentu adalah puasa Qadha. Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih
وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه
Ertinya : "..dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaKu dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya..." (Riwayat Al-Bukhari, no 6021)
Hadis tadi sebagai asas keutamaan, walau bagaimanapun dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang.
Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu Qadha puasanya selama 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat. Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawwal terlebih dahulu di ketika itu . Ini adalah kerana waktu sunnat puasa Syawwal yang singkat berbanding Qadha (sepanjang tahun).
Bagaimanapun harus di ingat, walaupun waktu bagi puasa Qadha adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu.
Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawwal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih berhutang dengan Allah SWT.
Bagaimanapun seseorang yang mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawwal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat syawal itu sekali. Berdasarkan sabda Nabi SAW
إن الله كتب الحسنات والسيئات ثم بين ذلك فمن هم بحسنة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له عنده عشر حسنات إلى سبع مائة ضعف إلى أضعاف كثيرة ومن هم بسيئة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له سيئة واحدة
Ertinya " ... barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah di tuliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, di tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda.." ( Riwayat Al-Bukhari, no 6010)
Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat Syawwal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang' ibadah dengan Allah berbanding puasa syawwal yang hanyalah sebagai tambahan pahala.
Isu Gabung Sunat & Qadha
Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-
Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang specifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.
Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.
Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti' itu dipersoalkan, iaitu :-
1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid' atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid'. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.
2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa'dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a'lam.
3. Tindakan A'isyah r.a yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawwal. Maka inilah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana Aisyah r.a tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut :
كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان
Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya'ban" ( Riwayat Muslim, no 101)
4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam' (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.
Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)
5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad 'Aayish al-'Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awlawiyyat. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW
من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر
Ertinya: "Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)" (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).
6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe'il madhi' iaitu ‘past tense' bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.
7. Hujjah ulama yang mengharuskannya adalah hadith
" Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan." (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)
Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).
Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh dibuat sesuka hati di dalam ibadah.
Kesimpulan
Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini : Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal);
Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah "keringanan" bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman

Monday, August 13, 2012

Ramadhan bersama Huffaz....di Surau Taman Seri Serdang, Seri Kembangan


Ramadhan Bersama Huffaz : Betapa Di Hujung Dunia Ini Masih Ada Yang Peduli Palestin

serdang-01SERDANG, SELANGOR, 5 OGOS 2012 – Apabila Sheikh Mosab Ismail Haslimon dan rakan-rakannya buat pertama kali menjejakkan kaki di bumi Malaysia, beliau berbisik sayu kepada dirinya sendiri betapa di hujung dunia yang jaraknya ribuan batu ini ada masyarakat yang mengambil berat tentang permasalahan Palestin.
“Apabila aku pulang ke Palestin nanti, insyaAllah akan aku ceritakan kepada sahabat-sahabatku dan sanak-saudaraku bahawa saudara seIslamku di Malaysia sangat mengambil berat tentang Palestin,” janji beliau kepada para jemaah di Surau Al-Furqan, Taman Sri Serdang di sini ketika menyampaikan tazkirah sempena solat terawih. Terasa sebak di dada hadirin bila terdengar ungkapan ikhlas mujahid ini.
Beliau yang berasal dari Al-Khalil di Tebing Barat, iaitu tempat kelahiran dan pemakaman ramai para nabi dan anbiya, pernah menuntut di Universiti Al-Aqsa dan meraih segulung ijazah. Sepertimana ramai pemuda-pemuda Palestin lain yang menjadi mangsa kerakusan rejim Zionis, beliau pernah ditangkap dan dipenjara sebanyak empat kali, kali terakhir pada tahun 2004. Sedang beliau menjalani hukuman penjara untuk tempoh tujuh tahun, Sheikh Mosab dibebaskan pada tahun 2011 ekoran pertukaran tahanan melibatkan seorang askar pengganas Yahudi, Gilad Shalit.
serdang-02Sebahagian daripada ahli jemaah Surau Al-Furqan yang memberi tumpuan kepada tazkriah Sheikh Mosab.Dalam tazkirah beliau, Sheikh Mosab antara lain menegaskan, “kami di Palestin sentiasa hidup di dalam kesusahan dan kepahitan. Kerana apa? Ini tidak lain kerana Al-Aqsa.” Beliau mengulang-ulangi kata-kata tersebut sebanyak tiga kali, menunjukkan betapa pentingnya Al-Aqsa kepada kita semua umat Islam sehinggakan Allah menyebut Al-Aqsa secara terus di dalam Al-Quran melalui surah Al-Isra’.
Beliau menyedarkan para hadirin bahawa adalah menjadi tanggungjawab dan kewajipan semua umat Islam untuk membebaskan masjid yang mulia itu. “Hari ini Yahudi cuba menghancurkan Masjid Al-Aqsa. Kami, anak-anak, ahli keluarga bahkan orang-orang tua di Palestin terus menyerahkan diri, tenaga, harta benda dan apa sahaja yang kami ada demi mempertahankan tanah wakaf umat Islam ini, tanah wakaf anda semua,” kata beliau dengan penuh rendah diri. “Kami tetap akan berada dalam keadaan yang teguh untuk mempertahankannya, bukan dengan cara duduk di dalam istana atau kesenangan tetapi dengan jiwa, darah dan air mata kami.”

Menurut keterangan beliau, rakyat Gaza terpaksa bersolat terawih dalam keadaan gelap kerana bekalan tenaga elektrik dicatu di mana mereka hanya mendapat bekalan selama empat jam sehari. Pada masa yang sama, jet-jet pejuang serta drones Yahudi sentiasa berlegar-legar di udara dan melancarkan tembakan dan bom ke arah sesiapa sahaja mereka suka. Pemuda-pemuda dibunuh tanpa kesalahan dan anak-anak yang sedang bermain di luar rumah juga dibom tanpa usul periksa. “Begitulah kalau kita lihat keperitan saudara kita yang berada di Gaza hingga ke saat ini,” jelas beliau.
“Saya menyebut ini semua bukan untuk menceritakan kesusahan dan keperitan kami, tetapi adalah untuk memberitahu kesungguhan kami berada di barisan hadapan mempertahankan bumi Gaza dan seluruh Palestin supaya umat Islam di Malaysia mengambil pengiktibaran dengan apa yang berlaku dan tidak lalai terhadap nasib saudara mereka di Palestin,” terang beliau setelah bercerita panjang tentang keperitan hidup mereka.
serdang-03Sheikh Mosab (5 dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada Setiausaha Surau Al-Furqan, Dr. Mohd Arif Abdul Manaf (4 dari kanan,) sambil bergambar kenangan.Berkenaan pengalaman beliau berada di dalam tahanan Zionis Yahudi, Sheikh Mosab yang enggan menceritakannya dengan lanjut berkata, “pasti anda tidak sanggup mendengarnya.” Beliau bagaimanapun sempat menceritakan bagaimana makanan yang disediakan dipenjara dicampur dengan bangkai tikus bahkan ada juga ketikanya makanan itu diracuni. Beliau juga menceritakan keperitan dipaksa duduk di atas kerusi tanpa penyandar selama tiga bulan sehingga seluruh badannya jatuh sakit.
“Apakah kita sanggup melihat ibu dan adik perempuan yang datang melawat kita dalam penjara ditanggalkan pakaian untuk diperiksa supaya tiada membawa senjata?,” tanya beliau ketika menggambarkan apa yang berlaku di penjara Israel sehingga ke saat ini. Bahkan ada rakyat Palestin yang ditangkap dan kemudannya diseksa dengan dipijak-pijak dada mereka sehingga retak tulang dada dan tidak diberikan ubat atau rawatan.
Mengakhiri tazkirah beliau, Sheikh Mosab berharap agar seluruh umat Islam terus membantu rakyat Palestin. “Di Gaza kami mendapat bekalan elektrik untuk hanya dua hingga empat jam sehari. Saya pernah lihat sendiri bagaimana seorang kanak-kanak mati kerana mesin oksigen tidak dapat berfungsi apabila bekalan elektrik terputus. Kami tidak cukup peralatan dan bekalan elektrik merawat anak itu, sehingga menangislah ibubapanya melihat anak mereka mati di hadapan mereka sendiri,” cerita beliau.
Alhamdulillah, program Ramadhan Bersama Huffaz di Surau Al-Furqan telah berjaya mengumpul dana bantuan untuk rakyat Palestin sebanyak RM3,539.51. Majlis telah diakhiri dengan penyampaian cenderahati oleh Sheikh Mosab kepada Setiausaha Surau Al-Furqan, Dr. Mohd Arif Abdul Manaf.

Semoga ahli kariah Surau Al-Furqan tidak akan putus-putus memanjatkan doa untuk rakyat Palestin. “Doa itu adalah senjata bagi orang mukmin, dan doa itu akan dapat menjadi pemangkin untuk kami terus berjuang di barisan hadapan membebaskan Masjid Al-Aqsa,” seru Sheikh Mosab.
Anda juga boleh menghulur sumbangan ikhlas untuk projek bantuan di Palestin melalui akaun-akaun berikut:
    Nama Akaun: Tabung Palestin HALUAN
    No Akaun - BIMB: 14-023-01-003429-2
    No Akaun - Maybank: 5644 9020 8528
---------
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...