Friday, September 7, 2012

Hanya kerana Allah

Titian istiqamah itu bukan mudah diharungi. Walaupun luas perjalanannya hanya sekangkang kera tapi pandangan kita menjadi kabur tatkala singgah di pertengahan jalan. Objektif dan niat itu sudah sudah ditetapkan namun dek kerana sekatan-sekatan yang menggoda, kita tewas tanpa sempat mencuba.

Kondisi fizikal yang dikuasai nafsu seringkali dapat menewaskan kehendak fitrah nurani di jiwa ibarat memecahkan kacang, sungguh mudah. Sedangkan yang dikejar itu baik, mengapa diuji hingga sebegini rupa?

Begitu halnya yang dapat dititipkan dalam mukadimah di atas tentang istiqamah. Suatu proses didikan hati untuk berikhlas, melibatkan lambakan perasaan yang tiada penghujung. Mendepani hiba, sengsara, derita, sedih dan kecewa semata-semata untuk menggapai keikhlasan dalam beramal untuk Tuhan Yang Esa, Allah Yang Murah dengan pemberian-Nya. Hanya Mukmin yang betul-betul bertakwa akan berjaya memilikinya. Beruntunglah bagi mereka.

Bagaimana dengan kita?

Ikhlas itu membawa manusia menyelusuri jalan hidayah. Destinasi yang dituju penuh dengan limpahan kebenaran hidup. Di situ segala kekusutan dan permasalahan akan terungkai dengan taufik yang dibekal oleh kemantapan iman. Namun hendak mengecapnya cukup payah, kita mendepani keremukan perasaan, mungkin kerana rasa tidak dihargai, tidak dimengerti mahupun dipinggir dan disisihkan. Maka kita susah untuk ikhlas kerana itu ikhlas itu bermaksud beramal semata-mata kerana Allah.

Manusia harus akui, kita sering cuba menarik perhatian orang lain tumpu pada kita. Mengakui kebolehan ataupun bakat yang kita ada. Menjadi orang yang dikagumi dan disanjungi mereka. Betul tak? Ya. Kita sering mengharapkan pandangan tinggi daripada mereka. Kata-kata pujian mereka. Malangnya bukan selalu kehendak itu akan dipenuhi. Acap kali simptom ini mengakibatkan kekecewaan dan derita yang berpanjangan. Kerana apa?

Andai kita mengharapkan kasih manusia mungkin saban tahun ia berubah menjadi benci. Kalau kita mencari kecintaan daripada manusia mungkin cinta tidak terbalas. Sekiranya kita mengharapkan penghargaan daripada manusia mungkin siapa jamin ia dapat bertahan lama.Akhirnya kita yang menjadi tidak keruan. Jangan salahkan sesiapa derita kekecewaan yang kita dapat kerana kita yang mencari nahas. Mengapa cari yang tidak kekal sedangkan Allah itu ada?

Kerana itu pentingnya ikhlas yang dianjurkan Islam. Suatu pekerjaan dan amalan bersandarkan semata-mata mengharapkan perhatian, rahmat, pertolongan, kebahagian dan keredhaan daripada Allah! Itulah ikhlas. Mana mungkin Allah membiarkan hamba-hamba-Nya bersendirian.



Limpahan rahmat dan kasih sayang-Nya sentiasa di sisi cuma jarang manusia sedari. Kehidupan itu juga satu lambang daripada kasih sayang-Nya. Walaupun beronak duri dan berliku-liku tapi alhamdulillah kita diberi satu kehidupan untuk mengecap kehidupan yang lebih baik di akhirat sana. Cuma perlukan sedikit usaha dan tekad. Sedihnya banyak yang menyesal diberi kehidupan hingga sanggup mati daripada hidup. Na'uzubillah min zalik...

Maka bulatkan hati hanya untuk Allah. Kita telah kufur apabila terasa berat untuk menerima cubaan yang dihidangkan oleh Allah ini dalam kehidupan. Kerana apa? Kerana sungguh jelas manusia yang suka merungut dengan kehidupannya itu melebihkan cintanya kepada dunia berbanding cinta kepada penciptanya sendiri. Itulah ciri-ciri orang munafik.

Kesimpulannya, sentiasalah mengkoreksi diri dan bermuhasabah. Siapalah kita untuk meminta yang bukan hak kita. Bersyukurlah dengan segala yang ada dan ikhlaskan diri untuk menerimanya takdir yang telah tertulis.

Wallahu Ta'ala A'lam

- Artikel iluvislam.com

Thursday, August 30, 2012

Puasa ganti, sunat dan Syawal...oleh Ustaz Zaharuddin


Puasa sunat Syawal sememangnya amat popular di kalangan masyarakat kita hari ini. Dikesempatan ini saya suka menasihatkan semua yang ingin mengamalkan puasa sunat ini agar berhati-hati dari tipu daya syaitan yang kerap berjaya menjadikan seseorang individu yang berpuasa itu bermegah dan riya' dengan amalannya.
" kau , dah hari ker berapa dah?"
"aku dah 5 hari dah ni"
"esok aku raya (sunat syawal)"
Ini adalah antara kata-kata yang kerap didengari di bulan syawal ini.
Ia menjadi seolah-olah satu budaya untuk berlumba menamatkan puasa enam. Ia agak terpuji tetapi ia dicemari oleh habahan-hebahan yang dibuat tentang bilangan hari puasanya bertujuan melihat 'sapa lebih hebat?'.
Amat dibimbangi, tindakan ini bakal menghilangkan seluruh pahala puasa sunatnya. Kerana ia boleh menjadikan seseorang merasa riya, serta memperdengarkan amalan masing-masing yang sepatutnya di sembunyikan khas untuk Allah.
Ziarah & Puasa Sunat
Saya tidak nafikan ada yang terpaksa memberitahu apabila ada rakan yang ajak makan dan menziarahi rumah rakan. Tatkala itu, ia tidaklah terkeji dan masing-masing bertanggung jawab menjaga niat dan hati masing-masing agar tidak timbul perasaan tersebut.
Puasa sunat ini juga tidak sewajarnya menjadi penghalang menerima jemputan rakan-rakan yang membuat rumah terbuka.
Isu Keutamaan Antara Sunat Syawal & Qadha
Selain itu, satu isu yang kerap ditimbulkan berkenaan hal ini adalah tentang penggabungannya dengan puasa ganti ramadhan dan puasa yang mana satu lebih perlu diutamakan.
Jika ada yang bertanya manakah yang lebih baik di antara puasa sunat syawwal dan puasa qadha?. Jawapannya sudah tentu adalah puasa Qadha. Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih
وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه
Ertinya : "..dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaKu dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya..." (Riwayat Al-Bukhari, no 6021)
Hadis tadi sebagai asas keutamaan, walau bagaimanapun dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang.
Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu Qadha puasanya selama 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat. Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawwal terlebih dahulu di ketika itu . Ini adalah kerana waktu sunnat puasa Syawwal yang singkat berbanding Qadha (sepanjang tahun).
Bagaimanapun harus di ingat, walaupun waktu bagi puasa Qadha adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu.
Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawwal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih berhutang dengan Allah SWT.
Bagaimanapun seseorang yang mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawwal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat syawal itu sekali. Berdasarkan sabda Nabi SAW
إن الله كتب الحسنات والسيئات ثم بين ذلك فمن هم بحسنة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له عنده عشر حسنات إلى سبع مائة ضعف إلى أضعاف كثيرة ومن هم بسيئة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له سيئة واحدة
Ertinya " ... barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah di tuliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, di tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda.." ( Riwayat Al-Bukhari, no 6010)
Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat Syawwal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang' ibadah dengan Allah berbanding puasa syawwal yang hanyalah sebagai tambahan pahala.
Isu Gabung Sunat & Qadha
Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-
Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang specifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.
Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.
Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti' itu dipersoalkan, iaitu :-
1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid' atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid'. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.
2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa'dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a'lam.
3. Tindakan A'isyah r.a yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawwal. Maka inilah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana Aisyah r.a tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut :
كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان
Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya'ban" ( Riwayat Muslim, no 101)
4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam' (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.
Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)
5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad 'Aayish al-'Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awlawiyyat. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW
من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر
Ertinya: "Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)" (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).
6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe'il madhi' iaitu ‘past tense' bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.
7. Hujjah ulama yang mengharuskannya adalah hadith
" Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan." (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)
Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).
Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh dibuat sesuka hati di dalam ibadah.
Kesimpulan
Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini : Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal);
Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah "keringanan" bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman

Monday, August 13, 2012

Ramadhan bersama Huffaz....di Surau Taman Seri Serdang, Seri Kembangan


Ramadhan Bersama Huffaz : Betapa Di Hujung Dunia Ini Masih Ada Yang Peduli Palestin

serdang-01SERDANG, SELANGOR, 5 OGOS 2012 – Apabila Sheikh Mosab Ismail Haslimon dan rakan-rakannya buat pertama kali menjejakkan kaki di bumi Malaysia, beliau berbisik sayu kepada dirinya sendiri betapa di hujung dunia yang jaraknya ribuan batu ini ada masyarakat yang mengambil berat tentang permasalahan Palestin.
“Apabila aku pulang ke Palestin nanti, insyaAllah akan aku ceritakan kepada sahabat-sahabatku dan sanak-saudaraku bahawa saudara seIslamku di Malaysia sangat mengambil berat tentang Palestin,” janji beliau kepada para jemaah di Surau Al-Furqan, Taman Sri Serdang di sini ketika menyampaikan tazkirah sempena solat terawih. Terasa sebak di dada hadirin bila terdengar ungkapan ikhlas mujahid ini.
Beliau yang berasal dari Al-Khalil di Tebing Barat, iaitu tempat kelahiran dan pemakaman ramai para nabi dan anbiya, pernah menuntut di Universiti Al-Aqsa dan meraih segulung ijazah. Sepertimana ramai pemuda-pemuda Palestin lain yang menjadi mangsa kerakusan rejim Zionis, beliau pernah ditangkap dan dipenjara sebanyak empat kali, kali terakhir pada tahun 2004. Sedang beliau menjalani hukuman penjara untuk tempoh tujuh tahun, Sheikh Mosab dibebaskan pada tahun 2011 ekoran pertukaran tahanan melibatkan seorang askar pengganas Yahudi, Gilad Shalit.
serdang-02Sebahagian daripada ahli jemaah Surau Al-Furqan yang memberi tumpuan kepada tazkriah Sheikh Mosab.Dalam tazkirah beliau, Sheikh Mosab antara lain menegaskan, “kami di Palestin sentiasa hidup di dalam kesusahan dan kepahitan. Kerana apa? Ini tidak lain kerana Al-Aqsa.” Beliau mengulang-ulangi kata-kata tersebut sebanyak tiga kali, menunjukkan betapa pentingnya Al-Aqsa kepada kita semua umat Islam sehinggakan Allah menyebut Al-Aqsa secara terus di dalam Al-Quran melalui surah Al-Isra’.
Beliau menyedarkan para hadirin bahawa adalah menjadi tanggungjawab dan kewajipan semua umat Islam untuk membebaskan masjid yang mulia itu. “Hari ini Yahudi cuba menghancurkan Masjid Al-Aqsa. Kami, anak-anak, ahli keluarga bahkan orang-orang tua di Palestin terus menyerahkan diri, tenaga, harta benda dan apa sahaja yang kami ada demi mempertahankan tanah wakaf umat Islam ini, tanah wakaf anda semua,” kata beliau dengan penuh rendah diri. “Kami tetap akan berada dalam keadaan yang teguh untuk mempertahankannya, bukan dengan cara duduk di dalam istana atau kesenangan tetapi dengan jiwa, darah dan air mata kami.”

Menurut keterangan beliau, rakyat Gaza terpaksa bersolat terawih dalam keadaan gelap kerana bekalan tenaga elektrik dicatu di mana mereka hanya mendapat bekalan selama empat jam sehari. Pada masa yang sama, jet-jet pejuang serta drones Yahudi sentiasa berlegar-legar di udara dan melancarkan tembakan dan bom ke arah sesiapa sahaja mereka suka. Pemuda-pemuda dibunuh tanpa kesalahan dan anak-anak yang sedang bermain di luar rumah juga dibom tanpa usul periksa. “Begitulah kalau kita lihat keperitan saudara kita yang berada di Gaza hingga ke saat ini,” jelas beliau.
“Saya menyebut ini semua bukan untuk menceritakan kesusahan dan keperitan kami, tetapi adalah untuk memberitahu kesungguhan kami berada di barisan hadapan mempertahankan bumi Gaza dan seluruh Palestin supaya umat Islam di Malaysia mengambil pengiktibaran dengan apa yang berlaku dan tidak lalai terhadap nasib saudara mereka di Palestin,” terang beliau setelah bercerita panjang tentang keperitan hidup mereka.
serdang-03Sheikh Mosab (5 dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada Setiausaha Surau Al-Furqan, Dr. Mohd Arif Abdul Manaf (4 dari kanan,) sambil bergambar kenangan.Berkenaan pengalaman beliau berada di dalam tahanan Zionis Yahudi, Sheikh Mosab yang enggan menceritakannya dengan lanjut berkata, “pasti anda tidak sanggup mendengarnya.” Beliau bagaimanapun sempat menceritakan bagaimana makanan yang disediakan dipenjara dicampur dengan bangkai tikus bahkan ada juga ketikanya makanan itu diracuni. Beliau juga menceritakan keperitan dipaksa duduk di atas kerusi tanpa penyandar selama tiga bulan sehingga seluruh badannya jatuh sakit.
“Apakah kita sanggup melihat ibu dan adik perempuan yang datang melawat kita dalam penjara ditanggalkan pakaian untuk diperiksa supaya tiada membawa senjata?,” tanya beliau ketika menggambarkan apa yang berlaku di penjara Israel sehingga ke saat ini. Bahkan ada rakyat Palestin yang ditangkap dan kemudannya diseksa dengan dipijak-pijak dada mereka sehingga retak tulang dada dan tidak diberikan ubat atau rawatan.
Mengakhiri tazkirah beliau, Sheikh Mosab berharap agar seluruh umat Islam terus membantu rakyat Palestin. “Di Gaza kami mendapat bekalan elektrik untuk hanya dua hingga empat jam sehari. Saya pernah lihat sendiri bagaimana seorang kanak-kanak mati kerana mesin oksigen tidak dapat berfungsi apabila bekalan elektrik terputus. Kami tidak cukup peralatan dan bekalan elektrik merawat anak itu, sehingga menangislah ibubapanya melihat anak mereka mati di hadapan mereka sendiri,” cerita beliau.
Alhamdulillah, program Ramadhan Bersama Huffaz di Surau Al-Furqan telah berjaya mengumpul dana bantuan untuk rakyat Palestin sebanyak RM3,539.51. Majlis telah diakhiri dengan penyampaian cenderahati oleh Sheikh Mosab kepada Setiausaha Surau Al-Furqan, Dr. Mohd Arif Abdul Manaf.

Semoga ahli kariah Surau Al-Furqan tidak akan putus-putus memanjatkan doa untuk rakyat Palestin. “Doa itu adalah senjata bagi orang mukmin, dan doa itu akan dapat menjadi pemangkin untuk kami terus berjuang di barisan hadapan membebaskan Masjid Al-Aqsa,” seru Sheikh Mosab.
Anda juga boleh menghulur sumbangan ikhlas untuk projek bantuan di Palestin melalui akaun-akaun berikut:
    Nama Akaun: Tabung Palestin HALUAN
    No Akaun - BIMB: 14-023-01-003429-2
    No Akaun - Maybank: 5644 9020 8528
---------

Sunday, July 22, 2012

10 tips Ramadhan yang produktif

1. Perlu ada niat yang ikhlas dan berkerja bersungguh-sungguh. Banyak berdoa untuk mendapatkan Ramdahan yang produktif


2.  Rancang hari esoknya sebelum tidur malam.  Pilih 3 kerja utama yang hendak dilakukan pada esoknya dan catatkannya dalam diari atau plan kerja.


3.  Jangan tinggalkan sahur. Bangun awal sekurang-kurangnya sejam sebelum subuh. Ambi makanan yang seimbang yang mengenyangkan.


4. Mula membuat kerja yang paling utama selepas fajar dan selesaikan sekurang-kurangnya satu atau dua.


5.  Cubalah tidur sekejap  tidak lebih dari 20 minit di waktu tengahari samada sebelum atau selepas zuhur.


6.  Rancang penggunaan waktu Ramadhan sekitar waktu solat bukan sebaliknya!


7.  Ambil masa sekurang-kurangnya sejam untuk membaca al_quran setiap hari.


8. Jangan tinggalkan kesempatan untuk berdakwah. Apabila ditanya kenapa berpuasa, terangakan dengan baik tentang Puasa Ramadhan dan Islam.


9. Berbukalah dengan kurma dan susu atau kurma dengan air.


10. Berilah sedekah. Libatkan diri dengan menganjurkan program berbuka bersama, membantu anak yatim dsbnya...dapatkan pahala dengan membantu orang lain....


Semoga tips ini bermanfaat, insyaAllah


Saturday, July 21, 2012

Hakikat Syukur.....

Kesyukuran kita pada Allah meliputi 3 aspek yang penting....

1. Syukur dengan hati
Menyedari dan menyakini bahawa semua nikmat dan kurnia yang diperoleh merupakan anugerah Allah dan berasal dariNya. Hati sentiasa khusyuk dan merasai nikmat yang tidak terhingga dariNya......

2. Syukur dengan lisan
Memuji Allah sebanyak-banyaknya dengan menyebutkan  Alhamdulillah yang lahir dari perasaan yang benar-benar bersyukur diatas segala pemberian Allah SWT. Hati yang merasai hakikat syukur ini akan menyebabkan lisannya sentiasa basah memuji Allah tanda syukur.

3.  Bersyukur dengan perbuatan
Taat beribadat kepadaNya dengan menggunakan kurniaanNya pada kita untuk kebaikan bukannya untuk maksiat dan dosa. Segala pancaindera kita digunakan untuk kebaikan, harta kita untuk membantu agama Allah dan berinfaq, kebolehan diri kita untuk maslahat Islam, kenderaan kita untuk membawa kita ke tempat yang baik seperti masjid, ke majlis ilmu dsbnya...

Seharusnya kita tanamkan dan hadamkan hakikat kesyukuran kita pada Allah dengan banyak merenung dan memperhati segala kurniaanNya dan betapa kita merasai bahawa segalannya adalah milik Allah SWT dan segala yang ada di dunia ini Allah tundukkan untuk manfaat manusia.  Betapa kasihnya Allah pada kita sehingga segala keperluan kita untuk hidup di dunia ini Allah cukupkan! Jadi sama-samalah kita lahirkan hakikat syukur ini dalam hati kita , lisan dan perbuatan, insyaAllah......

Thursday, June 7, 2012

Wanita...penyeri hidup lelaki!

Bismillahirrahmanirrahim...



Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah, Allah menciptakan isteri-isteri bagi kamu dari jenis kamu sendiri, agar kamu dapat hidup tenang bersama mereka. Kemudian Allah menciptakan kasih-sayang di antara kamu (antara suami-isteri)"
[Surah Ar-Ruum: 21]

Jangankan lelaki biasa, Nabi pun terasa sunyi tanpa wanita. Tanpa mereka, hati, fikiran dan perasaan lelaki akan resah. Masih mencari walaupun sudah ada segala-galanya. Apa lagi yang tidak ada di syurga, sehingga Adam a.s rindukan Hawa.

Kepada wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri atau puteri. Dijadikan mereka dari tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki. Tetapi kalau lelaki sendiri yang tak lurus, tak mungkin mampu nak meluruskan mereka. Tak logik kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang lurus.

Luruskanlah wanita dengan cara yang ditunjuk Allah, kerana mereka dicipta sebegitu rupa oleh Allah. Didiklah mereka dengan panduan dari-Nya. Jangan cuba jinakkan mereka dengan harta, nanti mereka semakin liar. Jangan hiburkan mereka dengan kecantikan, nanti mereka semakin menderita. Yang sementara itu tidak akan menyelesaikan masalah. Kenalkan mereka kepada cinta Allah yang Maha Agung, disitulah segala jawapannya.

Akal setipis rambutnya, tebalkan dengan ilmu. Hati serapuh kaca, kuatkan dengan iman. Perasaan selembut sutera, hiasilah dengan akhlak. Suburkanlah kerana dari situlah nanti mereka akan nampak nilaian dan keadilan Tuhan. Akan terhibur dan bahagialah hati mereka, walaupun tidak jadi ratu cantik dunia, presiden ataupun perdana menteri negara atau 'women gladiator'. Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan suatu kelemahan. Itu bukan diskriminasi Tuhan. Sebaliknya disitulah kasih sayang T uhan, kerana rahim wanita yang lembut itulah yang mengandungkan lelaki-lelaki waja : negarawan, karyawan, jutawan dan "wan-wan" yang lain. Tidak akan lahir 'superman' tanpa 'superwoman'.

Wanita yang lupa hakikat kejadiannya, pasti tidak terhibur dan tidak menghiburkan. Tanpa ilmu, iman dan akhlak, mereka bukan sahaja tidak boleh diluruskan, bahkan mereka pula membengkokkan.
Lebih ramai lelaki yang dirosakkan oleh perempuan daripada perempuan yang dirosakkan oleh lelaki.

Sebodoh-bodoh perempuan pun boleh menundukkan sepandai-pandai lelaki. Itulah akibatnya apabila wanita tidak kenal Tuhan. Mereka tidak akan kenal diri mereka sendiri, apalagi mengenal lelaki. Kini bukan saja ramai boss telah kehilangan 'secretary', bahkan anak pun akan kehilangan ibu, suami kehilangan isteri dan bapa akan kehilangan puteri.

Bila wanita derhaka dunia lelaki akan huru-hara . Bila tulang rusuk patah, maka rosaklah jantung, hati dan limpa. Para lelaki pula jangan hanya mengharap ketaatan tetapi binalah kepimpinan. Pastikan sebelum memimpin wanita menuju Allah pimpinlah diri sendiri dahulu kepada-Nya.

Jinakkan diri dengan Allah, nescaya akan jinaklah segala-galanya dibawah pimpinan kita. Jangan mengharap isteri seperti Fatimah, kalau peribadi belum lagi seperti Ali.

Monday, April 2, 2012

Tersenyumlah......wahai insan, ceriakan dirimu!

Senyumlah dari hati........sukarnya nak buat benda ni jika hati rasa sedih dan menangis!


Hanya Allah yang mengetahui segala yang tersimpan dilubuk jiwa. Sebenarnya apa yang ada dalam hati, tidak mampu dipendam dalam jiwa. Kesedihan dan kedukaan diri yang sering menghantui akan terserlah  secara zahirnya......  Mudah-mudahan artikel dibawah yang di edit ini dapat di renungi dan menjadi pendorong untuk menceriakan diri.........!

Tersenyumlah wahai diri.......

Satu perkara yang mudah namun ada kalanya ia menjadi begitu sukar. Mengukir senyuman di bibir kadang-kadang menyembunyikan kedukaan tersembunyi di dasar hati. Namun hanya diri ini yang mengerti. 


Abu Darda' pernah berkata :

"Sesugguhnya aku akan tertawa untuk membahagiakan hatiku"

Pernah juga Rasulullah SAW tertawa hingga menampakkan gigi gerahamnya, tapi tidak pernah pula baginda SAW ketawa berdekah-dekah.

Ada pepatah menyebut :

"Janganlah terlalu banyak tertawa, kerna terlalu banyak tertawa akan mematikan hati"

Tapi ambillah jalan yang wasthiyyah dalam keadaan bersederhana

"Senyumanmu di kala bertemu saudaramu bernilai sedekah"

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Meskipun sekadar menampakkan wajah ceria di saat kau bertemu dengan saudaramu"

Indahnya saranan Rasulullah SAW ini. Dengan senyuman sahaja dapat menjalinkan hati-hati manusia walaupun ada kalanya kata-kata lisan tidak jelas difahami dan warna kulit jauh berbeza sekali.

Ahmad Amin menyebut dalam Faidhul Kathir :

"Orang yang murah dengan senyuman dalam menjalani hidup ini bukan sahaja orang yang paling mampu membahagiakan diri sendiri, tetapi juga adalah orang yang multi tasking, orang yang paling kuat dalam menghadapi kesulitan dan memecahkan rungkaian persoalan"

Ada  manusia yang membuatkan kehidupannya menjadi muram durja di mana mereka yang berada di sekelilingnya turut merasai muram durja itu hanya kerana sifatnya yang gemar membesarkan perkara yang kecil. Menyibukkan diri dengan perkara yang kurang penting sampai terlebih pula.

Ramai orang yang pandangan hidupnya sudah dikaburi. Mereka sudah tidak dapat melihat bahkan menghayati keindahan hidup ini. Pandangan hidup mereka bersifat materialistik yang sering kali menjadi kayu ukur dalam segenap aspek kehidupannya.  Akan tetapi mereka sering lupa untuk menyoal bagaimana hendak membuat hati mereka bahagia?

Jika kita hanya mampu untuk menangani perkara-perkara kecil dalam menelusuri kehidupan ini, berarti kehidupan kita ini tidak akan melebihi perkara-perkara kecil  sahaja dalam hidup ini. Namun, jika kita berkeyakinan untuk berani berdepan perkara-perkara besar dalam menelusuri arus kehidupan, maka kita akan memiliki semangat dan azam yang besar yang bisa untuk memusnahkan segala bentuk halangan dan dugaan yang bakal menerjah tiba.

Jiwa yang senantiasa menguntum senyuman akan melihat kesulitan dengan penuh ketenangan dan kelapangan  sambil terus mengorak langkah untuk mengatasinya. Jika mereka berdepan dengan sebuah simpulan persoalan, mereka akan menguntum senyuman. Mereka turut mempamerkan senyuman ketika sedang berusaha merungkai tali-tali persoalan yang menanti dan masih tersenyum ketika mampu menanganinya. Akan tetapi, jiwa yang bermuram durja akan melihat kesulitan itu dengan sudut pandang penuh kesedihan. Saban kali menemui kesulitan, ia akan mengelakkannya atau memperbesarkannya, semangatnya mulai luntur dan langkahnya mulai longlai serta mula mencipta alasan dengan lafaz : "kalau".. "bila"... dan "jika"...

Sesungguhnya kita amat mendambakan  sekuntum senyuman, wajah yang ceria, hati yang lapang, akhlaq yang mulia, jiwa yang lembut dan ketulusan dan kelunakan dalam ttur kata.

"Sesungguhnya Allah swt telah mewahyukan kepadaku (Muhammad SAW) agar kalian bersikap tawadhu', hingga tidak ada seorang pun yang berbuat zalim terhadap orang lain dan tidak ada seorang pun yang berlaku angkuh terhadap orang lain"

Jangan terus bercerita tentang masalah sampai lupa untuk berbicara tentang solusi. Berbahas tentang masalah seolah-olah tiada lagi jalan keluar darinya sedangkan sifat kita sendiri yang suka memperbesarkan masalah. Tidak salah untuk berbicara tentang masalah, namun apa yang paling utama adalah mencari solusi dalam mengatasi masalah itu.

Jangan bersedih kerana kita telah melalui kesedihan itu semalam dan sama sekali ia tidak dapat memberi manfaat jika kita terus diambang kesedihan. Pandanglah ke belakang untuk menilai semula masalah dan mulakan langkah untuk mengatasi masalah hari ini serta teruskan usaha untuk memadam kesedihan hari semalam.


Ketika kita sedang bersedih kerana kemiskinan mahu pun kesengsaraan yang sedang dideritai, bukankah kesedihan itu hanya akan menambahkan lagi kesusahan kita? Ketika kita sedang bersedih di atas kritikan dan kata-kata hina lagi nista pada kita, pastilah kesedihan itu hanya akan menguntungkan dan mengobarkan lagi semangat mereka yang selama ini mahu melihat kita terus jatuh?

Janganlah dihimpit kesedihan kerana kesedihan hanya akan membuatkan air yang manis manjadi pahit, sekuntum mawar yang mekar nan indah kelihatan layu, kebun yang luas menghijau kelihatan seperti padang pasir yang kering kontang, wajah yang ceria menjadi masam mencuka, hati yang tenang berubah menjadi gundah gulana, kehidupan yang luas di ats dunia ibarat seperti meringkuk dalam bilik penjara.

Tersenyumlah.......it's good for you!
LA TAHZAN.. (。◕‿◕。)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...